Penculikan warga Palestin : Orang ramai dilarang buat sebarang spekulasi – KPN

Penculikan warga Palestin : Orang ramai dilarang buat sebarang spekulasi – KPN

ORANG ramai digesa tidak menimbulkan spekulasi berhubung kes penculikan warga Palestin yang berlaku di ibu negara, baru-baru ini,

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata sebarang spekulasi yang timbul boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat.

Katanya, 11 individu sudahpun didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 14 Oktober lalu, atas pertuduhan menculik lelaki itu bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit.

“Polis Diraja Malaysia masih meneruskan siasatan dan menunggu proses sebutan semula kes pada 15 Disember depan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur Jumaat lalu, atas pertuduhan menculik seorang lelaki Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit bulan lalu.

Mereka yang terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita ialah Edy Ko’im Said, 40; Mohamad Norakmal Hassan, 41; Dody Junaidi, 42; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39; Mohamad Naziree Mustapha, 39; dan Faizull Hardey Mohd Isa, 40.

Turut didakwa, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25; Mohamad Sufian Saly, 23; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 21; Nidarahayu Zainal, 34; dan Raibafie Amdan, 39.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa dengan secara niat bersama telah menahan Omar Z.M Albelbaisy Raeda, 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

5 Oktober lalu, media melaporkan seorang lelaki warga Palestin yang diculik menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berjaya diselamatkan dalam kejadian pada 28 September lalu. – Malaysiapost

Komen