Penghuni Rumah Bonda seperti diberi ‘skrip’ – saksi

Penghuni Rumah Bonda seperti diberi ‘skrip’ – saksi

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu kejadian termos berisi air panas terkena pada remaja Sindrom Down Bella di sebuah kondomonium di Wangsa Maju pada tahun lalu, seolah-olah tidak berlaku.

Pegawai Penyiasat Inspektor Suhaili Mahad Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Inspektor Suhaili Mahad, berkata ini kerana empat penghuni Rumah Bonda termasuk pengasasnya, Siti Bainun Ahd Razali seolah-olah memberi ‘skrip’ sama berhubung kejadian tersebut semasa siasatan dijalankan.

Kata saksi pendakwaan ke-19 itu, ‘skrip’ sama adalah apabila seorang penghuni dikenali sebagai Balqis, telah mengejar Bella kerana berebut ‘jajan’ (makanan ringan) yang kemudian Bella tertarik termos lalu air panas tersimbah pada badan remaja itu.

“Secara kesimpulannnya daripada siasatan yang dibuat kenyataan mereka adalah ‘skrip’ yang mana termos itu dalam keadaan baik.

“Tiada kemek atau apa-apa menunjukkan ia telah jatuh. Saya percaya tidak ada perkara seperti termos jatuh pada Bella, kerana tidak ada kesan sedemikian yang menunjukkan keadaan termos itu,” katanya memetik Kosmo Online.

Saksi pendakwaan itu ke-19 itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas.

Sementara itu saksi tersebut turut memberitahu bahawa polis telah mengambil 35 gambar tempat kejadian serta dua barang kes iaitu pemanas air dan seutas tali berwarna putih.

Saksi itu berkata pada 7 Julai 2021 beliau dan pasukan D11 bersama jurufoto telah pergi ke tempat kejadian.

Saksi itu berkata semasa berada di tempat kejadian, beliau telah menghubungi seorang penghuni bernama Yasmin untuk naik ke kondominium itu bersama jurufoto bagi merakam tempat kejadian dan barang kes.

Dalam prosiding itu, saksi turut dirujuk gambar-gambar yang diambil oleh jurufoto dan beliau mengesahkan gambar tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung lagi petang ini.

Siti Bainun Ahd Razali, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

Komen