Perisikan MOSSAD, kerajaan pantau aktiviti mencurigakan
Ben Ibrahim
KERAJAAN Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa memantau sebarang aktiviti mencurigakan membabitkan warga tempatan dan asing di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ini termasuk aktiviti risikan yang membabitkan agensi perisikan dari luar negara.
“Sebenarnya bila sesiapa saja masuk dalam negara kita, dia (kena) ada dokumen yang sah dan bila kita ada maklumat mengatakan ada orang masuk menggunakan dokumen yang tidak sah, kita akan monitor.
“Kalau kita rasa sudah sampai masa untuk kita tangkap mereka, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis pelancaran Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di Kuantan, hari ini.
Majlis dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Merujuk laporan eksklusif New Straits Times hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan berjaya membongkar satu jaringan perisikan Israel, MOSSAD di Malaysia.
Perkara itu terbongkar selepas dua rakyat Malaysia ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes penculikan warga Palestin akhir September lalu.
Wanita tempatan berusia 30 tahun turut disyaki menjadi dalang rangkaian perisikan Israel di negara ini.
“Wanita terbabit dilatih sebagai penyiasat persendirian di Perancis sebelum direkrut oleh ejen Mossad sebelum tahun 2018,” lapor berita itu.
Mengulas lanjut perkara itu, Hamzah menegaskan perkara seperti itu perlu diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil. – Malaysiapost