Perlu pelan tindakan komprehensif tangani isu kehilangan masa belajar – Ahmad Zahid

Perlu pelan tindakan komprehensif tangani isu kehilangan masa belajar – Ahmad Zahid

MALAYSIA telah melangkah ke era endemik dalam konteks melawan Covid-19 sejak dari April 2022, namun pelbagai kesan negatif masih lagi wujud, yang berpunca daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersilih ganti.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata antara sektor yang terkesan adalah sektor pendidikan dan proses pembelajaran dan pengajaran itu sendiri.

Beliau berkata, sebagai contoh, lebih dari 40 peratus pelajar di Malaysia tidak berpeluang untuk melaksanakan kelas atas talian, terutama sekali di kawasan-kawasan luar bandar.

“Kesannya, akibat daripada 41 minggu penutupan sekolah-sekolah seluruh Malaysia, sebilangan besar anak-anak kita telah hilang masa belajar (learning losses) mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno, berkata isu kehilangan masa belajar itu perlu dipandang serius kerana ia akan menjejaskan perkembangan kognitif dan sosio-emosi anak-anak.

Beliau berkata, jika berterusan ia akan menyebabkan kesan negatif yang berpanjangan kepada sektor pekerjaan, produktiviti dan kesenjangan pendapatan yang melebar dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, pelan tindakan komprehensif perlu dilaksanakan bagi menyelesaikan isu itu segera, antaranya setiap pelajar perlu menjalani penilaian komprehensif bagi mengetahui tahap penguasaan pengetahuan dan jurang pengetahuan mereka.

Katanya, ia termasuklah mengenalpasti kemahiran-kemahiran yang belum dikecapi dan apa yang perlu diajar bagi memperbaharui jurang pengetahuan yang ada.

“Program pengajaran harus dilaksanakan untuk mengejar semula silibus-silibus yang tertinggal kerana PKP dan mereka yang tidak dapat mengikuti kelas pembelajaran secara dalam talian. Selain itu, mereka yang tercicir dari mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran perlu lah dibawa kembali ke alam persekolahan.

“Isu dibangkitkan oleh Cikgu Fadli Salleh wajar dijadikan maklum balas yang bermanfaat dan janganlah dianggap sebagai ancaman dalam sistem pendidikan negara.

“Dalam konteks ini realiti zaman dan sifat realistik perlu ada. Bak kata Cikgu Fadli jangan hanya nak samakan silibus sahaja dengan zaman dan negara maju yang lain. Perlu juga samakan dengan aspek fasiliti, masa mengajar, kemudahan,”katanya.

Beliau berkata, isu pendidikan di luar bandar contohnya di Sabah dan Sarawak, Orang Asli di semenanjung malah di kawasan pinggir bandar juga masih ada yang sukar mendapat akses internet yang memuaskan turut perlu dipertimbangkan.

“Dalam konteks lebih besar, desentralisasi pendidikan amatlah penting bagi pihak sekolah mengadaptasi pelan pembelajaran dan pengajaran mereka kepada perubahan-perubahan pada tahap nasional.

“Ia juga akan menjadikan pihak sekolah lebih efektif dan efisien dalam menjalankan pelan pendidikan mereka menurut konteks, budaya dan sumber yang ada pada tahap tempatan.

“Malaysia perlu melaksanakan ‘Universal Design for Learning’ (UDL) untuk menggantikan pendekatan yang terlalu berpusat. Ia bertujuan membina fleksibiliti dan memudahkan sebarang perubahan mengikut konteks tempatan dan lokal dalam pelan pembelajaran dan pengajaran sekolah-sekolah,” katanya. – Malaysiapost

Komen