PH ajak rakyat bina semula Malaysia – Chin Tong

PH ajak rakyat bina semula Malaysia – Chin Tong

PAKATAN Harapan (PH) mengajak rakyat menyertai usaha untuk membina semula Malaysia dengan memilih gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, berkata PH kini hanya ada masa kurang sebulan untuk meyakinkan pengundi serta mengingatkan mereka mengenai sejarah ketika PRU14 pada 2018.

“Tidak dinafikan ada yang kecewa selepas PRU14. Setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada Mei 2016 serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada Jun tahun sama, muncul suara-suara mengajak rakyat jangan mengundi, kononnya “undi tidak bermakna” dan ‘kedua-dua pihak sama sahaja’.

“Barisan Nasional (BN) sedar ia hanya mampu meraih undi penyokong tegarnya. Itu tidak cukup untuk menang. Ia sedar majoriti pengundi atas pagar masih tidak bersamanya.

“Kerana itulah BN mencipta naratif ‘mengundi itu membuang masa’, ‘tiada guna kita keluar mengundi’ dan ‘tiada harapan lagi untuk Malaysia’. Semua mesej negatif hanya bertujuan untuk menggalakkan rakyat tidak keluar mengundi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Menurut Chin Tong, BN sedar jika pengundi atas pagar yang berhasrat mengundi PH tidak keluar mengundi kerana dipengaruhi naratif kecewa, ia membuka peluang kepada BN untuk menang besar walaupun kadar mengundi berkurangan.

Ini kerana katanya, hanya penyokong tegar BN akan keluar mengundi sedangkan bakal pengundi PH duduk di rumah atau makan angin pada hari mengundi kerana terpedaya dengan kempen BN.

“Ingatlah, sewaktu BN menggempur PH sepanjang 2017-18, satu acara telah menaikkan semangat rakyat yang masih ragu-ragu untuk membuat perubahan.

“Konvensyen PH pada 7 Januari 2018 telah menghidupkan semangat dan keyakinan pengundi.

“Apabila Parlimen dibubarkan pada 6 April 2018, walaupun ada kempen ‘undi rosak’, PH mampu yakinkan pengundi dalam masa tidak sampai empat bulan, dari 7 Januari sehingga 9 Mei 2018, menjadi berani membuat perubahan besar yang mengubah sejarah negara,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Liew Chin Tong

Komen