PH Kedah selesai agih kerusi – Mahfuz
PERSIAPAN Pakatan Harapan (PH) Kedah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 berjalan lancar termasuk membabitkan pembahagian kerusi di kalangan parti-parti komponen di negeri itu.
Pengerusi PH Kedah Datuk Mahfuz Omar berkata, pembahagian kerusi di kalangan parti-parti komponen gabungan itu telah selesai tanpa sebarang konflik atau pertikaian.
“Apa pun PH Kedah telah bersiap sedia menghadapi PRU15 ini. Setakat ini pembahagian kerusi telah selesai. Tiada konflik dan perebutan, semuanya berjalan dalam suasana harmoni. Semuanya berjalan dalam suasana permuafakatan yang baik.
“Jadi tunggu sahaja lah pengumuman senarai calon PH Kedah nanti. Kita telah bersedia,” katanya kepada Malaysiapost hari ini.
Bagaimanapun Mahfuz menjelaskan, kerusi-kerusi Parlimen milik penyandang parti Bersatu sebelum ini belum dimuktamadkan lagi dan ianya masih dalam perbincangan PH.
“Kerusi Parlimen milik Bersatu yang dulu menang atas tiket PH, kita mengambil sedikit masa untuk menentukannya. Masih dalam perbincangan.
“Macam kerusi Langkawi dan Jerlun, kita akan pastikan calon yang terbaik untuk merampas kerusi yang kita menangi dulu tapi dikhianati selepas itu,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Mahfuz Omar