‘Setiap sen peruntukan KPM untuk generasi pewaris negara’ – Radzi
MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin menegaskan akan memastikan setiap dana peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan digunakan sebaiknya untuk pewaris anak bangsa.
Beliau berkata, menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan imej KPM sentiasa terpelihara untuk menjamin kepercayaan rakyat.
“Sejak hari pertama menjejakkan kaki di KPM, prinsip saya adalah untuk memastikan agar setiap sen peruntukan untuk pendidikan generasi pewaris negara digunakan sebaiknya untuk manfaat mereka.
“Adalah penting untuk memastikan imej Kementerian Pendidikan kekal bersih bagi terus membina kepercayaan rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Hantaran tersebut bagi mengulas dakwaan bahawa berlaku penyelewengan berkaitan Surat Setuju Terima (SST) kontrak di KPM.
Isu tersebut dibangkitkan penulis Datuk Abd Zarin Mohd Yasin dalam hantaran di Facebook, semalam yang memaklumkan penyelewangan dana KPM berkenaan ada berhubung kait dengan dana politik.
Susulan itu, Radzi telah mengarahkan Ketua Setiausaha KPM membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan kontrak bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan dan kawasan. – Malaysiapost