Umum segera calon BN – Veteran Umno

Umum segera calon BN – Veteran Umno

VETERAN Umno mencadangkan pucuk pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) supaya mengumumkan nama-nama calon lebih awal bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak terpilih ‘merajuk’ untuk dipujuk.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub mengingatkan pimpinan parti agar tidak memandang ringan perkara itu kerana ia boleh membawa kepada sabotaj dan cah keting.

Katanya, jika calon diumumkan menjelang penamaan calon, ia akan menyukarkan proses memujuk.

“Sedangkan waktu berkempen hanya dalam masa 14 hari. Dari pengalaman lalu proses ‘pemujukan’ itu mengambil masa beberapa hari dan ia akan membantut proses berkempen.

“Apa lagi sekiranya berlaku penutupan bilik gerakan dan pemulauan jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Oleh itu katanya, Veteran Umno menyarankan pengumuman nama-nama calon disegerakan sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan tarikh-tarikh penting PRU15. – Malaysiapost

Komen