Warga Kelantan di perantauan bertuah pemimpin, kerajaan PAS prihatin

Warga Kelantan di perantauan bertuah pemimpin, kerajaan PAS prihatin

ANAK Kelantan di perantauan khususnya Lembah Klang amat bertuah kerana adanya pemimpin dan kerajaan negeri yang mengambil berat kebajikan mereka.

Perkara itu dinyatakan Ketua Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berdasarkan pengamatannya sebagai anak Kelantan.

Beliau semalam hadir dalam program pertemuan muhibah bersama anak-anak Kelantan dari sekitar Lembah Klang yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di ibu negara.

“Sebagai seorang yang berketurunan Kelantan, saya amati bahawa warga Kelantan amat bertuah kerana ada pemimpin dan kerajaan yang ambil berat tentang kebajikan mereka di perantauan.

“Anak-anak Kelantan memainkan peranan penting sama ada dalam kerajaan atau dunia korporat, di dalam atau luar negara.

“Saya percaya kepakaran mereka perlu digembleng untuk menjayakan agenda bagi membangunkan negeri Kelantan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara turut yakin Kelantan akan kekal ditadbir PAS selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

“InsyaAllah berkat usaha semua, Kelantan akan kekal di bawah pentadbiran berlandaskan Islam agar negeri sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT,” katanya. – Malaysiapost

Komen