Asyraf Wajdi tiada dalam perbincangan itu – Ahmad Fadhli

Asyraf Wajdi tiada dalam perbincangan itu – Ahmad Fadhli

KENYATAAN Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi kenyataan merapu adalah benar.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata pada perbincangan antara Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, hanya timbalan presiden kedua-dua parti dibenarkan berada bersama dalam bilik perbincangan itu.

Beliau berkata, Dr. Asyraf Wajdi memang tidak berada dalam bilik ketika perbincangan yang berlangsung pada 12 Oktober lalu di rumah Ahmad Zahid.

Ahmad Fadhli mendakwa, foto ditularkan oleh Asyraf Wajdi seolah-olah beliau hadir dalam perjumpaan itu diambil 10 minit sebelum perbincangan bermula.

Menurut penyandang kerusi Parlimen Pasir Mas itu, perbincangan hanya melibatkan Abdul Hadi, Ahmad Zahid dan timbalan presiden kedua-dua parti iaitu Tuan Ibrahim dan Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Ditularkan gambar tujuh orang yang hadir sedangkan gambar di meja makan tersebut adalah ketika tetamu sampai, semuanya duduk berbual sekitar 10 minit.

“Selepas itu, tiga orang yang lain pun beredar, tinggallah empat orang pimpinan iaitu presiden dan timbalan presiden PAS dan Umno berbincang sekitar satu jam.

“Kekanda saya, Asyraf juga berada di luar sepanjang perbincangan,” kata Ahmad Fadhli dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas gambar yang ditularkan Asyraf Wajdi didakwa bagi membuktikan dirinya turut serta dalam perbincangan itu.

Sebelum ini, Asyraf Wajdi mendakwa dalam perbincangan PAS itu, mereka telah memaklumkan ditawarkan 47 kerusi selamat oleh Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Asyraf Wajdi sebelum ini menegaskan beliau tidak berbohong dan merapu apabila mendedahkan butiran bahawa Bersatu menawarkan 47 kerusi selamat kepada PAS.

Aayraf Wajdi juga menegaskan beliau tidak memungkiri janji apabila berkongsi foto pertemuan itu di media sosial.

Ahmad Fadhli juga menegaskan, kehadiran Abdul Hadi adalah untuk menyelami hati budi Umno dan mendengar syarat diletakkan Ahmad Zahid.

Manakala Tuan Ibrahim pula hadir sebagai saksi pertemuan dan mencatit butiran perbincangan.

“Tidaklah perlu saya dedahkan syarat-syarat yang dikemukakan. Namun tempoh singkat diberikan kepada Presiden Pas untuk memuktamadkan keputusan, iaitu Jumaat 14 Oktober (dua hari).

“Esoknya Khamis 13 Oktober, mesyuarat PAS Pusat. Penuh bilik mesyuarat walaupun hari bekerja. Tidak timbul soal kerusi, tidak timbul soal perdana menteri.

“Yang dimusyawarahkan adalah soal hukum – apakah maslahahnya, apakah mudaratnya. Yang timbul adalah soal nasib – bukan nasib kerusi dan pimpinan (siapa kena charge esok, siapa kena charge lusa) – tetapi nasib agama, bangsa dan negara,” katanya.

Ahmad Fadhli menjelaskan, keputusan muktamad dicapai dalam mesyuarat itu adalah memperkukuhkan Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU dan penyatuan ummah tetap diteruskan.

“Objektifnya adalah untuk menyelamatkan negara daripada terjarah di bawah Pakatan Harapan yang akan mendatangkan mudarat lebih besar.

“Sekianlah sedikit fakta untuk diperbetulkan, bagi menjernihkan sedikit kekeruhan yang diperlihatkan. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Biduk lalu, kiambang bertaut.

“Saya bersaksi bahawa, Presiden Pas dan Timbalan Presiden PAS telah bercakap benar, tidak berbohong dan tidak pernah memungkiri janji,” katanya. – Malaysiapost

Komen