Bakal jadi negara tua 7 tahun lagi, Malaysia perlu perancangan menyeluruh

Bakal jadi negara tua 7 tahun lagi, Malaysia perlu perancangan menyeluruh

MALAYSIA bakal menjadi negara tua menjelang 2030 dan menjelang 2050 pula sebanyak 14 peratus daripada populasi negara diunjurkan berusia 65 tahun dan ke atas.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata peningkatan penduduk warga emas bakal menyaksikan peningkatan kos penjagaan kesihatan kepada keluarga dan negara.

Katanya, bagi memastikan kesihatan, kebajikan dan kesejahteraan warga emas terus dijaga, persediaan serta perancangan menyeluruh perlu dilakukan segera.

“Oleh itu Malaysia memerlukan pelan tindakan atau blue print lebih komprehensif sebagai persediaan menjadi negara tua atau menghadapi cabaran masyarakat menua.

“Persediaan itu bukan sahaja melibatkan perkhidmatan kesihatan, malah isu perumahan, pengangkutan, simpanan, kesejahteraan ekonomi dan sara hidup kumpulan warga emas.

“Jika dilihat kepada pelan tindakan sedia ada, ia masih lagi tidak terlalu menyeluruh dan tidak melibatkan semua agensi kerajaan,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya.

Justeru menurut Khairy, pelan tindakan yang baharu perlu mempunyai komitmen untuk dibuat pelaburan bagi melahirkan pakar diperlukan untuk menjaga kesihatan, kebajikan dan kesejahteraan warga emas.

Tambahnya, di peringkat Kementerian Kesihatan, antara persediaan dibuat termasuk menjalankan projek rintis Seamless Geriatric Care antara Unit Geriatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Unit Geriatrik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dengan beberapa Klinik Kesihatan di Kuala Lumpur dan Klang sejak 2019.

“Melalui projek rintis ini, pesakit dirawat secara bersama oleh pakar geriatrik dan pakar kesihatan keluarga, yang mana pelan pengurusan rawatan bagi pesakit dikongsi serta dilaksanakan secara bersama oleh kedua-dua pasukan pakar.

“Keadaan ini dapat mengelak berlakunya kelewatan dalam rawatan ke atas pesakit geriatrik.

“Saya membayangkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, rangkaian perkhidmatan kesihatan di peringkat primer akan semakin kukuh supaya beban pesakit dalam kalangan warga emas di hospital dapat dikurangkan,” katanya.

Terdahulu semalam beliau menyempurnakan sambutan Hari Warga Emas Sedunia 2022 di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sempena sambutan itu, pengurusan tertinggi KKM meluluskan secara pentadbiran perolehan katil berteknologi tinggi berserta ripple mattress bernilai RM450,000. – Malaysiapost

Komen