BN tak sempurna, tapi punya rekod lampau terbaik – Asyraf Wajdi
WALAUPUN Barisan Nasional (BN) bukanlah sempurna, tetapi kerajaan BN terdahulu mempunyai rekod pencapaian lampau terbaik yang menawarkan kestabilan dan kemakmuran kepada rakyat.
Perkara itu dinyatakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sambil menegaskan BN tidak pernah bergantung kepada pendekatan hasutan, fitnah mahupun membenihkan kebencian dalam kalangan rakyat.
“Ini kerana BN punya kekuatan dan pengalaman lebih 60 tahun membina dan mencipta kegemilangan untuk rakyat dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Susulan itu beliau menyenaraikan 25 agenda kemakmuran rakyat yang pernah dipelopori kerajaan BN sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lebih empat tahun lalu.
Antaranya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) / Kad Siswa 1Malaysia (S1M), pemberian percuma lebih sejuta komputer Netbook 1Malaysia.
Program 1AZAM bagi meningkatkan pendapatan melalui aktiviti perniagaan kecil-kecilan, Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Klinik 1Malaysia dan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M). – Malaysiapost
