Dr Akmal cabar Syed Saddiq bertanding di Jasin
PRESIDEN MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diminta menyahut cabaran untuk bertanding di Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Cabaran dilontarkan Dr Akmal Saleh yang menyifatkan Parlimen Jasin adalah kerusi ‘neutral’ dan seimbang kepada semua bakal calon.
“Saya mencabar Syed Saddiq untuk bertanding secara sihat dan anak jantan, jangan gunakan taktik memburukkan orang lain.
“Kalau ikutkan keputusan PRU14 sebelum ini di Parlimen Jasin, BN hanya menang 219 majoriti, jadi Jasin ini adalah tempat yang neutral.
“Jadi saya mencabar Syed Saddiq untuk datang ke Jasin dan kita bertanding secara anak jantan. Mohon disebarkan cabaran ini kepada Syed Saddiq,” katanya di Facebook, hari ini.
Bagaimanapun Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau tidak mengesahkan sama ada beliau akan menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Jasin, namun hanya memberi bayangan dengan kenyataan ringkas.
“Saya menunggu…,” katanya.
Dr Akmal turut membidas taktik kempen politik diamalkan Syed Saddiq yang juga penyandang kerusi Parlimen Muar, kerana didakwa gemar membuat ‘gimik’ untuk meraih simpati rakyat.
“Pemuda Umno bukan jenis suka buat propa untuk meraih simpati. Kami generasi yang dilatih ketika Umno kalah dan generasi yang kekal setia tidak lari melompat pagar meninggalkan kawan-kawan ketika susah.
“Jadi cukup-cukuplah untuk buat propa kebencian demi meraih simpati dan undi rakyat. Berkempenlah secara sihat dan matang untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Hujung minggu lalu, Syed Saddiq mendakwa ceramah mega dibarisi kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan MUDA diganggu sekumpulan ‘mat motor’ didakwa didalangi Umno dan BN.
Kumpulan tersebut dikatakan melaungkan ‘penipu’ disusuli dengan cubaan untuk merusuh kawasan khemah.
Bagaimanapun, cubaan tersebut dihalang oleh sekumpulan penyokong MUDA dan polis yang tidak membenarkan mereka daripada memasuki khemah.
Susulan itu, Ketua Pemuda Umno Muar membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan berkenaan dan turut mempertimbangkan saman terhadap Syed Saddiq berhubung dakwaan yang disifatkan sebagai fitnah. – Malaysiapost