Insyallah saya akan bertanding – Isham Jalil
ISHAM Jalil memberi bayangan beliau akan bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, namun belum pasti Parlimen mana yang akan beliau tandingi.
Isham menegaskan, setakat ini beliau tidak menerima sebarang petunjuk di mana mungkin dicalonkan.
“Saya dipanggil untuk berjumpa Presiden… InsyaAllah saya akan dicalonkan. Tetapi saya belum tahu di mana.
“Presiden Umno tak buat sebarang komitmen. Tapi mungkin, saya rasa saya boleh diberi peluang untuk bertanding.
“Saya cuma buat persediaan… Dia (Zahid) tak cakap secara terus saya akan jadi calon, tapi saya perlu bersedia.
“Saya orang parti. Saya tak dicalonkan pada PRU14 tapi tetap terus bekerja untuk parti. Jika diberi peluang kali ini, saya sedia bertanding. Kalau tidak pun, saya tetap akan berkhidmat kepada parti,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Sementara itu, Isham memaklumkan beliau telah meraih sebanyak RM74,000 untuk kempennya menghadapi PRU15.
Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan had belanja kempen sebanyak RM200,000, Isham merancang untuk hanya membelanjakan RM100,000, dan pada awalnya menyasarkan untuk meraih RM50,000 menerusi sumbangan awam.
“Lebih empat tahun saya berjuang untuk parti guna wang sendiri… Jadi sebab itu sekarang saya rasa ada keperluan untuk raih dana.
“Saya lihat dalam akaun saya ada sumbangan RM5, RM10… Saya pilih untuk guna akaun peribadi kerana parti tak buat kutipan awam,” katanya.
Beliau berkata, kutipan dana itu juga selaras dengan pendiriannya yang menyokong undang-undang untuk mengawal pendanaan politik dan meningkatkan ketelusan berhubung prosesnya.
Katanya, keputusan untuk menggunakan akaun sendiri juga agar Umno tidak terdedah dengan sebarang risiko, manakala penggunaan akaun syarikat atau NGO pula dilihat tidak wajar.
Untuk sumbangan terhadapnya, Isham menawarkan sejumlah barangan peribadi termasuk gitar akustik – yang berjaya meraih RM5,000 – dua poster legenda tinju Allahyarham Muhammad Ali, salinan Perlembagaan Persekutuan dan buku bertajuk Why Nations Fail yang dibelinya ketika menuntut di Universiti Harvard. – Malaysiapost