Keluar undi atau terima akibatnya – Abdul Hadi
PAS mengajak semua rakyat keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk memilih pemimpin yang betul dan benar, bagi mengelak negara berdepan bencana.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata rakyat wajib mengambil iktibar daripada sejarah umat Islam yang menyaksikan penindasan terhadap umat di bumi Palestin, apabila bangsa Arab meninggalkan perintah Allah supaya mempertahan Islam dan tanah sucinya.
“Sehingga sekarang umat Islam di Palestin masih memikul akibatnya,” katanya dalam Facebook hari ini.
Katanya, Almarhum Jeneral Mahmud Syit Khattab dari Iraq yang datang berperang di Palestin pada tahun 1948 pernah menceritakan dalam satu bukunya, bahawa beliau menyaksikan ramai dalam kalangan bangsa Arab yang berpeluk tubuh dan bergembira sahaja tanpa mempedulikan apa yang berlaku pada peringkat awalnya.
“Setelah itu mereka menghadapi suatu bencana apabila dijajah dan diperhambakan secara nyata dan halus, sehingga mereka menjadi bangsa yang dihinakan walaupun kaya-raya,” katanya.
Abdul Hadi berkata, keadaan sama juga pernah berlaku di Malaysia, apabila beberapa orang pahlawan seperti Datuk Maharaja Lela di Perak, Datuk Dol Said di Melaka, Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Datuk Bahaman, Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau di Pahang, namun hanya segelintir orang Melayu yang ikut serta.
“Adapun sebahagian besarnya berkecuali dengan berpeluk tubuh menjaga rumah dan perut masing-masing, lalu akhirnya semuanya menerima bencana penjajahan sekali gus menjadi lebih hina daripada isi perutnya,” katanya.
Beliau berkata, bencana juga berlaku dalam berbagai-bagai keadaan seperti penularan wabak, sukar mendapatkan mata pencarian, pengangguran, kezaliman, rasuah, penipuan, kenaikan harga barangan, keruntuhan akhlak, gejala dadah, banyaknya jenayah dan bencana alam.
Katanya, ini adalah suatu amaran Allah SWT supaya kita bangkit mencegah kemungkaran yang semakin banyak, laksana banjir sehingga masuk ke dalam bilik rumah.
Justeru, Abdul Hadi berkata, langkah untuk mencegahnya ialah dengan memilih kerajaan yang benar-benar menunaikan amanah Allah SWT, iaitu sebuah kerajaan yang berakidah, beriman dan berakhlak, bukan sahaja memandang dari sudut ekonominya.
“Sekiranya tidak mempunyai iman dan akhlak, maka ekonominya juga akan runtuh, politiknya pula zalim dan menipu, lantas tiada keamanan dan keselamatan lagi.
“Marilah sama-sama kita keluar mengundi dan memilih pemimpin dengan betul dan benar, janganlah sekali-kali memilih golongan yang salah dan sesat.
“Bahkan, janganlah sekali-kali tidak keluar mengundi sehingga memberikan kemenangan kepada pihak yang salah. Mereka yang tidak menolong pihak yang benar, akibatnya akan menimpa ke atas seluruh manusia di dunia dan di akhirat,” katanya – Malaysiapost