Kenapa Ismail Sabri tak letak jawatan, ganti PM lain – Tun M

Kenapa Ismail Sabri tak letak jawatan, ganti PM lain – Tun M

TUN Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen di sebalik dakwaan ‘kehilangan majoriti’.

Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata individu lain perlu menggantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Kata Dr Mahathir, situasi tersebut sama seperti Ismail Sabri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kehilangan sokongan majoriti pada tahun lalu.

“Jika Mahiaddin (Muhyiddin) dijatuhkan kerana hilang majoriti dan diganti dengan Ismail Sabri, kenapa kehilangan sokongan, Ismail tidak letak jawatan dan partinya naikkan Perdana Menteri lain.

“Tidak perlu bubar Parlimen,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu menerusi hantaran di Facebooknya.

Sebelum ini, beberapa pihak mendakwa Ismail Sabri hilang sokongan sebagai Perdana Menteri selepas 12 menteri dari Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong meminta agar Parlimen tidak dibubarkan.

Sementara itu Dr Mahathir berkata, dunia akan mentertawakan Malaysia jika banduan hadir ke Dewan Rakyat untuk menasihati kerajaan bagaimana mentadbir negara.

“Hentikan layanan istimewa kepada banduan pembesar yang melakukan jenayah besar tetapi banduan yang curi RM10 digari dan dipenjara serta-merta,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan siapa banduan tersebut, namun dipercayai merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – Malaysiapost

Komen