Kenyataan pecat hanya seloroh – PM
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kenyataannya berhubung pemecatan anggota Jemaah Menteri Perikatan Nasional (PN) sekadar berseloroh dan bukannya serius.
Perdana Menteri berkata, sekiranya beliau serius akan perkara itu sudah lama kesemua menteri berkenaan dipecat daripada Kabinet.
Bagaimanapun katanya, kesemua mereka masih berada dalam Kabinet serta memegang jawatan masing-masing.
“Dalam hal ini, saya berseloroh atau serius? Kalau saya serius dia (menteri-menteri PN) sudah kena pecat dah, tapi dia (mereka) masih ada dalam Kabinet, saya tak pecat tu maksudnya saya berselorohlah,” katanya dipetik Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Pemantapan Komuniti Bandar Keluarga Malaysia di Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang, hari ini.
Terdahulu, seorang anggota Kabinet daripada Bersatu menegaskan masih belum terlambat untuk Ismail Sabri memecat anggota jemaah menteri PN yang memangku jawatan ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, yang terkilan dengan kenyataan Ismail Sabri baru-baru ini mengenai ‘pecat menteri’, dipercayai merujuk pada tindakan 12 menteri PN yang menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah pembubaran Parlimen.
Abd Latiff berpandangan, kenyataan ‘pecat menteri’ itu tidak sepatutnya disebut dalam ucapan politik walaupun disampaikan secara gurauan dan sinikal. – Malaysiapost