Kerana enggan bersama Bersatu, Umno difitnah pecah belah ummah – Zahid
UMNO menyedari naratif giat disuburkan kononnya Umno adalah parti yang memecah belahkan ummah, hanya kerana enggan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata naratif itu tidak benar dan bersifat fitnah kerana ia amat bertentangan dalam perlembagaan parti itu sendiri.
“Tohmahan ini sama sekali tidak benar sedangkan Umno itu sendiri memayungi penyatuan ummah.
“Agenda itu malah terkandung rasmi dalam perlembagaannya demi agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, Umno sebulat suara menolak kerjasama dengan Bersatu demi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.
Katanya, mustahil untuk Umno boleh bekerjasama dengan parti yang bersifat musuh dalam selimut lalu mahu membunuhnya.
“Sedangkan Bersatu sebuah parti ditubuhkan dengan matlamat untuk menamatkan Umno dan BN. Apakah rasional Umno diasak dan didesak supaya bersama musuh dalam selimut?
“Keputusan ini tidak bersifat individu, sebaliknya dicapai bersama oleh pimpinan dan akar umbi parti,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid menegaskan, dalam mendalami isu berkaitan pemecah belah ummah harus bersandarkan kepada fakta dan sejarah.
“Usaha memecah belah bermula dengan kewujudan parti-parti politik serpihan angkara krisis tamak kuasa.
“Bermula dengan PKR, disusuli kewujudan Bersatu, Amanah dan Pejuang memangkin kepada perpecahan.
“Pimpinannya malah pernah bersengkongkol dengan DAP yang mereka sendiri labelkan tidak selari dengan Melayu,” katanya.
Justeru, Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk berkata, pada PRU15 pengundi harus berani menilai erti kestabilan dan kemakmuran dalam menetapkan pilihan
“Umno pula tetap Umno bersama BN membentuk sebuah gabungan rakyat berbilang bangsa, kaum dan agama.
“Tidak pernah memecah belahkan kesatuan ummah, tidak pernah pernah jua merobek penyatuan bangsa Malaysia
“Usah terkilaf membuat penentuan kerana penyatuan ummah dan rakyat Malaysia kini terletak di tangan anda,” katanya. – Malaysiapost