Kes jenayah boleh dibendung dengan lebih baik jika STAFOC tidak dibubarkan PH – Asyraf Wajdi

Kes jenayah boleh dibendung dengan lebih baik jika STAFOC tidak dibubarkan PH – Asyraf Wajdi

KES Penculikan atau jenayah yang dikaitkan dengan agensi perisikan asing boleh dielakkan dan dibendung dengan lebih baik sekiranya Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) tidak dibubarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sebagai negara berdaulat dan bermaruah, keselamatan rakyat dan sempadan penting yang perlu dijaga mengikut undang-undang negara kita.

“Paling utama, Malaysia adalah negara berdaulat dan bermaruah. Kita jaga rakyat kita. Kita jaga sempadan kita. Kita ada undang-undang kita.

“Kestabilan, keamanan dan ketenangan negara inilah yang membawa kepada kemakmuran yang boleh dimanfaatkan oleh sekalian rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Asyraf Wajdi bagaimanapun menzahirkan rasa terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya mengawal keadaan dengan pantas dan baik.

“Waima apa pun keputusan siasatan PDRM nanti, perlakuan jenayah seperti penculikan adalah berbahaya kepada rakyat Malaysia.

“Sudah macam filem Hollywood pula jadinya apabila masyarakat umum membuat spekulasi dan andaian,” katanya.

Beliau turut mengimbau kejadian pembunuhan warga Korea Utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kes pembunuhan ‘clean’ seorang pensyarah warga Palestin di Setapak pada 2018, yang turut dikaitkan dengan pembabitan agensi perisikan asing.

“Nauzubillahi minzalik, semoga Allah SWT melindungi negara kita Malaysia dan dijauhi dari sebarang musibah dan ancaman seperti ini.

“Malaysia dikenali dunia sebagai sebuah negara yang selamat dan aman. Bukan tempat untuk berlakunya jenayah berat antarabangsa,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, seramai 11 individu termasuk seorang wanita dihadapkan di Mahkamah Majistret atas dakwaan menculik seorang warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit, bulan lalu.

Mereka didakwa dengan niat bersama menahan Omar Z M Albelbaisy Reeda, 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat untuk membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Semalam, NST dalam laporannya mendakwa ejen Mossad memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik rakyat Palestin yang mereka percaya sebagai aset Briged Hamas al-Qassam. – Malaysiapost

Komen