Kit Siang dakwa siasatan terhadap Thomas rendahkan kedudukan Peguam Negara

Kit Siang dakwa siasatan terhadap Thomas rendahkan kedudukan Peguam Negara

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedang merendah-rendahkan kedudukan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, dakwa Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu menyifatkan arahan Perdana Menteri agar Thomas disiasat sekali gus bagi membolehkan beliau dihadap ke muka pengadilan, bertentangan dengan Perlembagaan negara.

“Perdana Menteri sedang merendah-rendahkan kedudukan dalam Perlembagaan dengan mengarahkan Peguam Negara untuk mendakwa Tommy Thomas, kerana bukunya bertajuk My Story: Justice in the Wilderness,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kit Siang menegaskan, tindakan Ismail Sabri itu adalah langkah ke belakang dalam konteks keadilan di Malaysia.

“Ismail Sabri sedang membawa kemunduran terhadap keadilan di negara dengan mengarahkan Peguam Negara untuk mendakwa Tommy Thomas.

“Ssedangkan di bawah peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Peguam Negara “mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera,” katanya.

Kit Siang berkata, Ismail Sabri sepatutnya menjunjung Perlembagaan dan bukannya merendahkan Perlembagaan seperti dilakukannya dalam ucapannya di Bagan Datuk, di mana beliau telah mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun, mengambil tindakan terhadap Thomas di bawah peruntukan Akta Rahsia Rasmi (OSA), undang-undang fitnah, dan undang-undang lain.

“Bahawa dia telah menyah-rahsiakan laporan siasatan ke atas buku Tommy supaya laporan ini dapat digunakan sebagai “peluru” politik untuk menyerang Pakatan Harapan.

“Ismail Sabri sedang memperbodohkan peruntukan perlembagaan mengenai kebebasan Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding.

“Perkara ini adalah satu contoh jelas kes penindasan politik yang disorokkan di sebalik satu siasatan dan pendakwaan,” katanya.

Berdasarkan laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan terhadap buku nukilan Tommy itu, mendapati terdapat 19 isu penting dan empat daripadanya merupakan isu utama.

Susulan itu, Ismail Sabri telah mengarahkan Tommy segera disiasat pihak berkuasa bagi membolehkan beliau didakwa di mahkamah. – Malaysiapost

Komen