Latiff dakwa PM tak bincang nak bubar Parlimen dengan Kabinet

Latiff dakwa PM tak bincang nak bubar Parlimen dengan Kabinet

KENYATAAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan isu pembubaran Parlimen dibincang dalam Kabinet, disangkal Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu mendakwa kenyataan Perdana Menteri tersebut tidak tepat sama sekali.

“Seingat saya, tiga kali dibincangkan. Cuma (perkara PRU15) YAB PM9 (Ismail Sabri) tidak pernah untuk beliau meminta mandat daripada anggota Kabinet mengenai tarikh pembubaran Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Mersing itu menjelaskan, mesyuarat hanya membincangkan beberapa perkara termasuk persediaan menghadapi PRU15, Monsun Timur Laut serta Bajet 2023.

“Kita berbincang hal persediaan pilihan raya bersekali dengan persediaan bencana, Monsun Timur Laut (MTL) dan persediaan Bajet 2023.

“Malah, pembentangan Bajet 2023 diawalkan mendapat persetujuan anggota Kabinet lebih awal,” katanya.

Justeru Abdul Latiff menegaskan, beberapa kenyataan dalam ucapan Ismail Sabri ketika program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional (BN) di Bagan Datuk pada Isnin lalu, tidak tepat dan mengelirukan orang ramai.

Terdahulu, Ismail Sabri mengakui terdapat pelbagai pandangan bertentangan daripada menteri dalam Kabinetnya berkaitan cadangan membubarkan Parlimen.

Ismail Sabri berkata, beliau memaklumkan sekiranya mereka tidak bersetuju beliau tetap boleh membubarkan Parlimen dan “memecat saja semua orang”.

Pada 6 Oktober lalu, 12 menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan pendirian gabungan itu menolak PRU15 diadakan tahun ini.

Mereka memberikan alasan faktor musim tengkujuh dan usaha pemulihan ekonomi negara tidak mewajarkan PRU15 diadakan pada tahun ini juga.

Namun, pada 10 Oktober lalu, Ismail Sabri membubarkan Parlimen setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

Komen