Pasangan suami isteri dikait dengan Mossad bukan ahli PKR
PKR menafikan dua daripada 11 individu yang ditahan dan dihadapkan ke mahkamah kerana menculik seorang warga Palestin yang didakwa atas arahan agensi perisikan Israel Mossad, adalah ahli parti itu.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata dakwaan tular di media sosial mengaitkan pasangan suami isteri itu dengan PKR adalah tidak benar.
Beliau berkata, tindakan kedua-dua individu itu memuat naik gambar bersama bendera PKR di media sosial adalah pilihan dan kebebasan untuk menyokong mana-mana parti politik namun tiada kaitan dengan PKR.
“Semalam, tular di media sosial dakwaan bahawa dua individu yang ditahan itu adalah anggota PKR atau ada kaitan dengan parti. Individu itu didakwa punyai hubungan dengan Mossad.
“Saya sahkan dua individu itu iaitu Nidarayahu Zainal dan Raibafie Amdan bukan anggota mana-mana Cabang PKR dan tiada kaitan dengan parti.
“Berhubung gambar individu itu mengangkat bendera PKR atau gambar akaun Facebook dengan logo PKR sekitar 2018, ia tindakan dan pilihan individu terbabit dan tidak ada kaitan sama sekali dengan parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 14 Oktober lalu, seramai 11 individu termasuk seorang wanita dihadapkan di Mahkamah Majistret atas dakwaan menculik seorang warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit, bulan lalu.
Semua tertuduh iaitu Edy Ko’im Said, 40; Mohamad Norakmal Hassan, 41; Dody Junaidi, 42;, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39; Mohamad Naziree Mustapha, 39; Faizull Hardey Mohd Isa, 40; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25; Mohamad Sufian Saly, 23; dan Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 21; selain Nidarahayu, 34, dan Raibafie, 39.
Mereka didakwa dengan niat bersama menahan Omar Z M Albelbaisy Reeda, 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat untuk membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit. – Malaysiapost