Penggunaan lokar antara usaha tangani beg berat – Radzi
USAHA berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan tujuh pendekatan bagi menangani isu beg sekolah yang dilancarkan sejak 6 Mac lalu diterima baik di sekolah.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata antara satu pendekatan KPM adalah penyediaan lokar di sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya akhir bulan ini.
“Alhamdulillah, fasa pertama pemasangan lokar di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi telah dilaksanakan pada 5 Oktober lalu melibatkan 626 sekolah seluruh negara.
“Pemasangan bagi fasa pertama ini akan selesai sepenuhnya akhir bulan ini,” katanya dalam Facebooknya hari ini.
Radzi turut memuat naik infografik pendekatan KPM berhubung isu berkenaan.
Beliau berkata, selain penyediaan lokar, KPM turut melaksanakan 6 lagi pendekatan lain bagi mengatasi perkara berkaitan beg berat murid ini.
“Semua inisiatif ini sedang berjalan dan pelaksanaannya diterima baik di sekolah,” katanya.
Inisiatif lain katanya, termasuk penyusunan semula jadual waktu, bilangan buku latihan, penggunaan buku aktiviti dan kerja, pengenalan buku teks digital, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP), serta kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). – Malaysiapost