PRU15: PH pertaruh ustaz untuk tentang Hadi di Marang

PRU15: PH pertaruh ustaz untuk tentang Hadi di Marang

USTAZ bakal menjadi pertaruhan Pakatan Harapan (PH) Terengganu dalam usaha menawan kubu kuat PAS di Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata calon itu bakal memberi pilihan baharu kepada pengundi di kerusi tradisi Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu.

Tanpa mendedahkan identitinya, beliau turut yakin calon PH berusia lingkungan 40-an itu boleh memberi impak terhadap undi parti lawan sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun PAS.

“Calon ini boleh membuka mata rakyat bahawa pendekatan seorang ustaz tidak semestinya melalui ceramah berapi-api dengan membakar sentimen negatif.

“Insya-Allah pengundi akan ada pilihan,” katanya memetik Sinar Harian.

Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Marang dimenangi Abdul Hadi yang mendapat 53,749 undi menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endot dengan 31,795 undi, iaitu majoriti 21,954 undi.

Calon PH dari PKR, Zawawi Sulong pula hilang deposit.

Abdul Hadi telah menyandang kerusi Parlimen Marang selama enam penggal.

Sementara itu, Raja Kamarul Bahrin juga mendedahkan, PH bakal mempertaruhkan tokoh korporat bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus yang sebelum ini dimenangi PAS.

Pengerusi Amanah Terengganu itu turut mengesahkan bakal bertanding pada PRU15 namun tidak menyebut kerusi mana beliau akan ditempatkan, bergantung kepada keputusan pimpinan parti.

“Apa yang pasti, kita (PH Terengganu) akan bertanding di semua lapan Parlimen di Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Marang, Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Kuala Nerus.

“Namun siapa calonnya dan kerusi mana mereka ditempatkan akan diumumkan selepas Konvensyen PH di Perak selesai nanti.

“Latar belakang calon pula seimbang, ada tokoh agama, korporat dan profesional. Semua mereka melalui proses tapisan serta saringan ketat oleh parti,” katanya. – Malaysiapost

Komen