Rakyat perlu tahu hasil siasatan buku Tommy Thomas, Pulau Batu Puteh – Puad
RAKYAT tidak sabar menunggu
LAPORAN Pasukan Petugas Khas melibatkan dua isu iaitu buku nukilan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Pulau Batu Puteh perlu didedahkan segera kepada umum.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, dua perkara itu memberi impak besar kepada negara ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Rakyat menunggu pendedahan siasatan Pasukan Petugas Khas mengenai dua isu besar iaitu buku Tommy Thomas dan Pulau Batu Puteh.
“Rakyat tidak sabar. Ia adalah ibu kedurjanaan kerajaan PH selama 22 bulan,” katanya menerusi hantaran di Fecebook, hari ini.
Justeru, Mohd Puad berkata, segala laporan penyiasatan Pasukan Petugas Khas berkenaan dua perkara itu perlu diketahui rakyat agar dapat menilaikannya.
“Rakyat mahu tahu. Biar rakyat memberi pandangan apa tindakan yang mesti diambil terhadap penjenayah terbabit. Tindakan undang undang mesti diambil. Baru adil,” katanya.
Hujung bulan lalu, Perdana Menteri mengarahkan agensi penguatkuasa negara menyiasat segera Thomas susulan laporan pasukan petugas khas mendapati wujud empat isu utama daripada 19 isu penting daripada buku tersebut.
Minggu lalu, Perdana Menteri bersetuju hasil laporan didedahkan untuk bacaan umum.
Bagaimanapun, laporan pasukan petugas khas terhadap Pulau Batu Puteh yang sepatutnya dibentangkan kepada Jemaah Kabinet pada September lalu, belum dibentangkan. – Malaysiapost