Senarai calon PAS Pahang sudah dihantar semalam
Ben Ibrahim
PAS Pahang sudah menghantar senarai nama calon untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada PAS Pusat semalam.
Perkara itu disahkan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Andansura Rabu ketika dihubungi hari ini.
Katanya, senarai itu hanya cadangan peringkat PAS Pahang dan keputusan muktamad mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.
“Kita sudah hantar senarai nama (calon) ke Pusat pada semalam.
“Jadi, kita perlu tunggu dan Pusat akan membuat keputusannya (muktamadkan),” katanya.
Andansura berkata PAS Pahang mengambil pendekatan seimbang dalam menampilkan calon baharu dan lama untuk pilihan raya umum kali ini.
Katanya, senarai itu menampilkan hampir 50 peratus calon muka baru bagi mewakili PAS negeri.
“Selebihnya (50 peratus lagi) adalah penyandang atau calon membuat kemunculan semula.
“Kombinasi dua generasi ini dilihat seimbang untuk mengekalkan sokongan dan memastikan kemenangan parti,” katanya lagi.
Menjawab mengenai jumlah kerusi yang Pas tandingi menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pula, Andansura berkata pembahagian kerusi sudah selesai dan kini menunggu untuk diputuskan di peringkat PAS Pusat.
“Kalau soal berapa banyak kerusi PAS akan bertanding, itu kita tidak boleh maklumkan lagi, dalam minggu ini dijangka selesai,” katanya.
Andansura yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah bagaimanapun enggan mengulas sama ada beliau akan terus mempertahan kerusi itu.
Dalam PRU14, Andansura memperoleh 12,239 undi, menang dengan majoriti 1,305 undi mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) Zulkifli Mohamad (10,934 undi) dan calon BN, Suhaimi Sulong mendapat 8,732 undi. – Malaysiapost