Usaha angkat ideologi komunisme di negara ini perlu ditentang habis-habisan – Abdul Hadi
SEBARANG usaha untuk mengangkat atau membenihkan semula ideologi komunisme di tanah air kita seperti yang pernah dilaksanakan DAP sebelum ini, hendaklah dicegah dan ditentang habis-habisan.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata komunis tidak membawa bala tentera seperti negara barat yang menjajah, tetapi fahaman mereka menjajah pemikiran rakyat pelbagai kaum untuk direkrut sebagai bala tentera mereka.
“Bahayanya lebih besar daripada bala tentera penjajah Barat yang berkulit putih, kerana fahaman komunisme itu membunuh akidah secara ekstrem,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Abdul Hadi menjelaskan, komunisme ialah fahaman sekular yang menolak kepercayaan kepada Tuhan, yang mana mereka mengganas lebih melampau daripada penjajah yang beragama Kristian dan Yahudi.
“Ijtihad pemimpin kita terdahulu yang sama-sama menentang penjajah Barat, selepas itu menentang komunis pula adalah tepat kerana menentang musuh yang lebih berbahaya hendaklah diutamakan,” katanya.
Dalam hantaran itu, Abdul Hadi turut memuat naik beberapa poster yang mengaitkan pembabitan DAP dengan komunis termasuk membawa pulang abu mayat Chin Peng, menyertai perhimpunan memperingati komunis dan menerbitkan komik yang beridelogikan komunisme.
Dalam poster lain, Abdul Hadi turut memaparkan #TolakDAP Pro-Komunis. – Malaysiapost