Bekas ADUN Sekong meninggal dunia
BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri Sekong, Datuk Samsudin Yahya meninggal dunia di dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kota Kinabalu, hari ini.
Beliau yang meninggal dunia selepas 40 minit selepas pesawat itu berlepas menyebabkan pesawat terbabit berpatah balik ke KLIA.
Difahamkan pesawat berkenaan berlepas dari KLIA pada pukul 2.20 petang dan dijadual tiba di Kota Kinabalu, Sabah kira-kira pukul 4.40 petang ini.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor merakamkan takziah kepada keluarga allahyarham.
“Innalillahi Wa Inna Ilahi Rojiun. Semoga Allah ampunkan segala dosa Allahyarham Datuk Samsudin Yahya yang baru sahaja pergi menghadap ilahi.
“Semoga Allah terima segala amalan dan mengangkat darjat Allahyarham disisi-Nya.
“Semoga pemergian Allahyarham menjadi kerehatan sebenar dari urusan dunia. Semoga dilindungi dari seksa kubur dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya di Facebooknya hari ini.
Perkara sedih itu turut dikongsi Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menerusi hantaran dalam akaun Facebooknya.
“Al Fatihah, semoga roh Allahyarham Dt Hj Shamsudin Yahya, Allah Letakan Bersama Orang Orang Solleh dan Beriman.
“Takziah kepada Datin Junaidah Aji dan seluruh keluarga, diharap tabah menerima dengan kehendak Allah,” katanya. Malaysiapost