Beli tiket penerbangan awal untuk balik mengundi

Beli tiket penerbangan awal untuk balik mengundi

ORANG ramai yang mahu pulang ke kampung halaman untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dinasihatkan membeli tiket kapal terbang lebih awal.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ia bagi mengelak harga tiket penerbangan mahal jika tempahan dibuat pada saat akhir atau waktu kemuncak.

“Mengikut mekanisme harga dinamik yang mana-mana syarikat penerbangan dalam dunia tetapkan, lebih awal tiket ditempah, ia murah dan lebih dekat dengan satu tarikh atau peristiwa, harga akan menjadi lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran aplikasi TAXI4U, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan harga tiket penerbangan naik dua kali ganda susulan pengumuman tarikh PRU15 seperti yang tular di media sosial.

Bagaimanapun, Ka Siong mengarahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk menyiasat dakwaan itu.

Sementara itu, mengulas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berhubung tempoh kempen dua minggu, Ka Siong, yang juga Presiden MCA berkata, pihaknya sedia berentap dalam gelanggang kerana ‘pengadil’ sudah pun meniupkan wisel.

“Bagi saya, kalau pengadil sudah meniupkan wisel, kita sedia masuk padang. Saya pun tidaklah dalam kedudukan untuk mempersoalkan tarikh pilihan raya dan bila penamaan calon.

“Jadi, kita kenalah mengikut adat pertandingan. Kali ini, kempen berlangsung dua minggu dan setiap parti diberikan masa sama,” katanya. – Malaysiapost

Komen