Bentuk pasukan khas segera untuk kekang Mossad di Malaysia – Khaled Nordin

Bentuk pasukan khas segera untuk kekang Mossad di Malaysia – Khaled Nordin

MALAYSIA tidak boleh dibiarkan menjadi medan operasi pengintipan jahat mana-mana pihak, terutama rejim haram seperti Israel yang tidak diiktiraf negara.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sehubungan itu kerajaan mesti melihat isu kewujudan agensi pengintipan di bawah rejim Israel di Malaysia secara serius dan menjelaskannya kepada masyarakat.

Menurutnya, penjelasan itu bukan sahaja bagi menjawab kekeliruan dan mengetahui perkara sebenar, tetapi ia juga boleh menjadi amaran serta meningkatkan kesedaran orang awam berhubung jenayah itu.

“Kita baru sahaja dikejutkan dengan pendedahan tergempar tentang kewujudan kegiatan dan operasi Mossad (agensi pengintipan di bawah rejim haram Israel yang mendiami negara Palestin) di Malaysia.

“Menurut liputan awal, sekumpulan warga tempatan direkrut dan dijadikan agen untuk melakukan kerja-kerja pengintipan dan operasi kotor negara Israel termasuklah menyasar dan menculik warga Palestin di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, lebih membimbangkan perkara itu dikatakan bukanlah sesuatu yang baharu.

“Susulan itu, saya secara peribadi dan Umno secara amnya percaya wujud keperluan untuk kerajaan Malaysia khususnya, antara lain, Kementerian Dalam Negeri tampil membuat penjelasan yang lengkap berhubung perkara ini.

“Sudah pastilah isu ini menimbulkan kebimbangan dan kegusaran dalam kalangan banyak pihak. Ia bukan sahaja isu keselamatan. Malah, ini sebetulnya isu kedaulatan dan maruah negara,” katanya.

Menurutnya, adalah kritikal untuk pihak berkuasa meneliti dan menyiasat saluran serta ‘entry window’ yang membolehkan operasi sedemikian menyelinap masuk, bertapak serta beroperasi di dalam negara kita.

“Penglibatan ramai warga tempatan yang tidak bertanggungjawab dalam sindiket ini menuntut kita untuk bukan sahaja memberikan mereka hukuman yang tegas dan keras.

“Malah kita mesti membentuk pasukan khas dengan segera untuk meneliti dan mendalami taktik serta strategi Mossad mendekati dan melatih orang tempatan,” katanya.

Beliau berpendapat, kejadian itu tidak berlaku dengan mudah melainkan mereka benar-benar memahami ekosistem dan pendekatan keselamatan dalam negara ini. – Malaysiapost

Komen