Bertanding atau tidak, Asyraf Wajdi sedia hadapi sebarang kemungkinan

Bertanding atau tidak, Asyraf Wajdi sedia hadapi sebarang kemungkinan

Najamuddin Mohd Nor

DATUK Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengakui akan akur sebarang keputusan pucuk pimpinan Umno jika tidak dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pemuda Umno itu berkata, jika khidmatnya lebih diperlukan untuk mengetuai jentera Pemuda Barisan Nasional (BN), beliau sedia melakukannya demi memastikan kemenangan BN.

“Apa yang saya nak katakan, saya sendiri akur kalau pimpinan kata saya tak bertanding sebab kena fokus kepada jentera Pemuda BN yang perlu digerakkan semaksimum, Tiada masalah.

“Pemuda BN kita akur dan sedia siapa juga calon… yang penting calon itu membawa obor BN, yang penting kita mahu BN menang di semua Parlimen dan DUN tiga negeri,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menjelaskan, setakat ini semua pihak termasuk dirinya tidak dapat memastikan kerusi Parlimen yang bakal ditandinginya jika dicalonkan.

“Selagi mana tak diumumkan, tiada siapa pun boleh menyatakan secara pasti dia akan bertanding di mana-mana. Kita tak tahu, ini semua atas pimpinan.

“Kita tak dapat maklum lagi, tapi senarai calon Pemuda BN telah pun kita sampaikan kepada Pengerusi BN (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi).

“Saya juga dimaklumkan di peringkat Pemuda MCA dan MIC telah pun dihantar kepada presiden masing-masing

“Saya rasa kali ini gambaran yang saya dapat ramai wajah baru ditampilkan. Semua proses menilai calon sudah selesai, sekarang kita menunggu masa untuk pengumuman nama-nama calon,” katanya. – Malaysiapost

Komen