BN belum selesai pembahagian kerusi
PEMBAHAGIAN kerusi dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) masih di peringkat perbincangan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Naib Presiden Umno itu berkata, Pengerusi Perhubungan Umno negeri telah pun mengemukakan cadangan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Perbincangan masih diteruskan untuk memilih calon daripada Umno. Belum selesai lagi. Kita ada banyak lagi pembahagian kerusi dengan komponen, masih dalam perbincangan.
“Pengerusi perhubungan sudah pun membentangkan cadangan mereka. Jadi kita akan buat penilaian,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian selepas merasmikan Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Koperasi dan Usahawan Tan Sri Noh Omar.

Tengah hari tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November depan sebagai hari pengundian bagi PRU15.
Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November, manakala hari pengundian awal pada 15 November. -Malaysiapost