BN berusaha mengembalikan kestabilan dan kemakmuran Malaysia. -Ahmad Zahid

BN berusaha mengembalikan kestabilan dan kemakmuran Malaysia. -Ahmad Zahid

BARISAN Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berusaha mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di bumi Malaysia.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata namun ia bukanlah suatu tugas yang mudah kerana berdepan pelbagai halangan, rintangan dan cabaran.

Beliau berkata, bagaimanapun berkat keyakinan, dokongan serta kesepakatan rakyat bersama, BN mampu menjayakannya dan pernah melakukannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta Johor, dan mampu mengulanginya untuk PRU-15.

“Sebagai sebuah gabungan politik mungkin tidak terlihat sempurna oleh sebilangan pihak. Namun gabungan politik ini tidak pernah terhenti berusaha untuk menggapai kesempurnaan.

“Ia suatu proses berterusan tanpa titik noktah memastikan BN kekal relevan, progresif kini dan selamanya.

“Sejarah selepas 9 Mei 2018 malah menyaksikan BN masih pilihan terbaik rakyat untuk mengemudi negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, BN yang membawa wadah perpaduan kaum, keharmonian beragama, kemakmuran ekonomi serta kebajikan rakyat dan ujuan-tujuan ini menjadi asas pada Fasal 5 Perlembagaannya.

“Memupuk dan mengekalkan satu bangsa Malaysia yang hormoni dan bersatu-padu, berusaha mencapai pembangunan jasmani dan rohani dan mengekalkan Islam sebagai agama Persekutuan

“Tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana jua dalam Persekutuan. Menegak dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara

“Berusaha untuk mewujudkan suatu masyarakat adil dan saksama. Berusaha untuk mengeratkan lagi perhubungan dalam kalangan ahli BN,” katanya

Ahmad Zahid berkata, itulah yang menjadi pegangan dan inspirasi BN dalam mengangkat kestabilan dan kemakmuran sejak sekian lama, manakala gabungan politik lain sehingga hari ini berdepan ketidaktentuan dalam hala tujunya.

“Pernah membentuk Pakatan Rakyat (PR) kemudian berpecah dan menubuhkan Pakatan Harapan (PH). Berpecah-belah lagi angkara persengketaan kuasa lalu terbentuk pula Perikatan Nasional (PN).

“Sebahagian yang lain menubuhkan parti serpihan baharu maka terwujudnya Gerakan Tanah Air (GTA),” katanya.

Beliau berkata, menjelang PRU-15 mereka masih tiada hala tuju yang jelas untuk kepentingan rakyat dan negara.

“Satu-satunya yang hadir bersama mereka adalah faedah politik, kuasa, kroni, jawatan dan kedudukan.

“Bersendikan fitnah, pembohongan, manipulasi, putar belit, janji palsu dan ‘manifesto bukan kitab suci’,” katanya. – Malaysiapost

Komen