Dua tunjang utama politik Malaysia adalah rakyat dan agama – Dr Zulkifli

Dua tunjang utama politik Malaysia adalah rakyat dan agama – Dr Zulkifli

BEKAS Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menitipkan tiga nasihat utama kepada semua parti politik khususnya kepada pemimpin parti dan jentera masing-masing menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), berkata nasihat dan pandangannya kali ini berbeza nadanya atau mungkin lebih matang berbanding menjelang PRU-14 pada 2018.

Menurutnya, ia susulan sedikit pengalaman dalam Kabinet Malaysia walaupun tidak melangkah masuk atas tiket politik, namun ia mengajarnya ‘sepak terajang’ dunia politik yang penuh warna-warni ini.

“Pertama, saya menyeru semua parti politik untuk memperbaharui niat masing-masing bagi menghadapi kempen PRU-15. Dua tunjang utama politik Malaysia adalah rakyat dan agama.

“Kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa “janji Puteri Gunung Ledang” oleh pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, kedua adalah usik-mengusik itu biasa semasa kempen tetapi adab dan akhlak hendaklah dipelihara serta tidak perlu keterlaluan membenci dan memusuhi.

“Ketiga, fitnah adalah sekeji-keji bentuk kempen dan permainan politik.

“Fitnah boleh menaikkan seseorang yang jahat. Fitnah juga boleh menjatuhkan seseorang yang baik. Sudah pasti azab bagi penyebar fitnah adalah amat dahsyat,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli juga menasihatkan golongan muda yang bakal mengundi buat pertama kali agar tidak hanya membuat penelitian menerusi internet atau media sosial seperti TikTok untuk menilai calon dan parti mana yang perlu diundi.

“Selain carian di alam maya, saya sarankan supaya hadir ke rapat umum semua calon yang bertanding. Dapat maklumat sebanyak mungkin melalui pertanyaan, perbualan dengan pengundi yang lebih senior daripada pelbagai parti.

“Akhirnya, mohonlah petunjuk daripada Allah SWT melalui solat istikharah,” katanya. – Malaysiapost

Komen