Jangan sesekali mengundi golongan yang salah dan sesat – Abdul Hadi

Jangan sesekali mengundi golongan yang salah dan sesat – Abdul Hadi

TANGGUNGJAWAB mengundi dan pemilihan kepimpinan negara, semuanya akan direkodkan dalam catatan amal malaikat dan berada di bawah penilaian Allah SWT sama ada seseorang itu turun mengundi ataupun tidak.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata segala kepercayaan, percakapan, hatta pekerjaan seseorang pasti akan dihisab dan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat kelak.

Menurutnya, ia membabitkan sama ada hubungan manusia dengan Allah SWT mahupun sesama manusia dan makhluk yang lain.

“Hal ini termasuklah dalam soal pengundian dan pemilihan kepimpinan negara. Baik seseorang itu turun mengundi ataupun tidak, semuanya direkodkan dalam catatan amal malaikat dan berada di bawah penilaian Allah SWT.

“Di sana, ada pihak yang mengambil keputusan untuk tidak mahu mengundi dalam pilihan raya dengan pelbagai alasan yang dangkal seperti politik itu kotor, semua parti politik adalah sama, undi tidak mengubah apa-apa, sistem demokrasi ialah sistem kuffar, dan sebagainya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, seseorang itu sebenarnya turut terlibat sama dalam menentukan apa yang berlaku dalam kehidupan mereka dan masa depan mereka.

“Lebih buruk, tindakan mereka yang tidak turun mengundi itu membawa implikasi kemenangan kepada pihak yang sesat, salah, tidak amanah, dan tiada integriti untuk menjadi pemimpin negara.

“Justeru, tunaikanlah tanggungjawab sebagai pengundi dengan memilih kerajaan yang benar-benar menunaikan amanah Allah SWT, yakni kerajaan yang beraqidah, beriman, dan berakhlak,” katanya.

Abdul Hadi turut menasihatkan pengundi agar jangan sekali-kali mengundi golongan yang salah dan sesat.

“Demikian juga, jangan sekali-kali tidak keluar mengundi sehingga mengakibatkan kemenangan kepada puak yang tidak sepatutnya,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) iaitu hari penamaan calon pada 5 November, undi awal pada 15 November dan hari mengundi pada 19 November. – Malaysiapost

Komen