“Kalau kepala ikan sudah busuk, maka busuklah ikan itu hingga ke ekornya” – Hamzah Zainudin

“Kalau kepala ikan sudah busuk, maka busuklah ikan itu hingga ke ekornya” – Hamzah Zainudin

“KALAU kepala ikan sudah busuk, maka busuklah ikan itu hingga ke ekornya,” demikian kata Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata perkara itulah menjadi sebab utama beliau meninggalkan Umno selepas beberapa bulan memenangi kerusi Parlimen Selama atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, apa yang dimaksudkan dengan kepala ikan itu adalah seseorang pemimpin parti membawa imej pengikut-pengikutnya.

Menurutnya, apa yang dikatakannya adalah kebenaran yang pahit ditelan oleh sesetengah pihak, tetapi wajar di renungkan oleh semua pihak.

“Apabila saya tengok dalam Facebook Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) mengatakan saya mencabar dia masa saya keluar (Umno) dulu. (Saya keluar) sebab perjuangan saya masih lagi konsisten untuk agama bangsa dan negara.

“Saya kata dia (Ahmad Zahid) kena berhenti ketika itu adalah kerana pada saya lambang sesuatu parti itu datangnya bermula daripada Presiden parti.

“Jadi Presiden parti haruslah seorang yang berintegriti. Bukan sebab saya tak sayangkan dia..dia adalah sahabat saya. Tetapi saya katakan tidak untuk kepentingan parti, kerana parti itu melambangkan bangsa kita maka sepatutnya dia berhenti,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Hamzah turut mengakui mencabar Ahmad Zahid untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno ketika itu dan jika tidak berbuat demikian, belai yang akan keluar dari parti berkenaan.

“Saya cabar dia kalau dia tak berhenti saya keluar. Dia tidak mahu berhenti dan saya keluarlah. Itu yang sebenarnya.

“Kerana saya sayangkan yang lain-lain. Yang lain-lain itu nanti akan bersubahat dalam melakukan sesuatu yang melambangkan imej yang negatif.

“Sebab itu saya minta supaya orang faham bahawa perjuangan ini adalah untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.

Hamzah berkata, beliau konsisten dalam perjuangannya demi agama, bangsa dan negara tanpa mengira parti yang disertai.

“Betullah dulu saya Umno saya mengaku, tetapi saya keluar kerana nak melambangkan bahawa pemimpin itu harus seorang yang boleh membawa imej pengikut-pengikutnya.

“Kalau ikan kepalanya sudah busuk maka ekornya insya-Allah juga busuk. Saya tak katalah ianya sama seperti ini (Umno).

“Saya takut berlakunya seperti itu dan saya nasihatkan dia tetapi bila dia tak dengar saya terpaksa keluar,” katanya. – Maaysiapost

Komen