KPLB tidak terbabit tender pembalakan di Negeri Sembilan – Mahdzir

KPLB tidak terbabit tender pembalakan di Negeri Sembilan – Mahdzir

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menafikan terbabit dalam tawaran tender bagi mengeluarkan kayu balak dalam Hutan Simpanan Kekal di Negeri Sembilan yang mendapat kritikan ramai.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata setiap kementerian perlu mendapatkan izin dari kerajaan negeri terlebih dahulu untuk melakukan sebarang projek tertentu.

“Kita (KPLB) ini di Persekutuan, apa yang kita nak buat, kita kena pergi (minta kelulusan) kerajaan negeri.

“Mana ada pula KPLB nak pergi tebang balak di Negeri Sembilan nak buat apa?,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Institusi Pendidikan TVET di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengesahkan sama ada pengumuman dari Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan yang membuka tender membalak dalam kawasan hutan simpan kekal di Negeri Sembilan adalah di bawah projek KPLB.

Menurut Mahdzir, bagi projek kerajaan Persekutuan di peringkat negeri, ia perlu mendapat kelulusan negeri terbabit kerana itulah peraturan sejak dulu lagi.

“Mesti juga dapat kelulusan. Tanah, air (di bawah negeri, soal agama di negeri)

“Kalau kerajaan Persekutuan nak buat apa-apa, mesti minta kat negeri. Itu peraturan sedia ada dari merdeka sehingga hari ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mendakwa kecewa terhadap pengumuman Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan yang membuka tender membalak dalam kawasan hutan simpan kekal di negeri itu.

NGO itu dilaporkan berkata Pakatan Harapan (PH) boleh dikatakan hipokrit kerana membiarkan pembalakan berlaku di negeri pentadbiran mereka.

Terdapat iklan notis daripada Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan bertarikh 5 Oktober lalu yang mempelawa tawaran kontrak untuk mengeluarkan balak dari beberapa petak di Hutan Simpan Lenggeng dan Hutan Simpan Gapau.

Notis itu menyatakan, tender tersebut melibatkan kawasan seluas 94.66 hektar atau bersamaan dengan lebih 130 padang bola sepak.

Menurut notis tersebut, tender berkenaan adalah untuk membuka laluan kepada kerja-kerja pembinaan jalan di antara Kampung Ganu dan Ulu Beranang.

Tawaran untuk tender berkenaan hendaklah dikemukakan sebelum tengah hari pada 26 Oktober ini. – Malaysiapost

Komen