Menang PRU-15 baru cakap soal gabung, runding – PM
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan Barisan Nasional (BN) perlu fokus untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terlebih dahulu sebelum menumpukan kepada kerjasama dengan parti lain.
“Kita perlu menang PRU dahulu baru kita nak cakap soal nak gabung ke berunding ke dengan sesiapa pun,” katanya selepas perasmian Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia, sebentar tadi.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa parti itu komited terhadap usaha penyatuan ummah dan tetap terbuka membentuk kerjasama dengan Umno menuju PRU-15.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno berkata, soal kerjasama di antara parti adalah isu besar dan perkara itu perlu diputuskan parti.
“Perkara ini mesti dibawa ke majlis mesyuarat tertinggi parti. Perkara besar seperti ini mesti diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Jadi apa pun MKT tentukan,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Faizal memberitahu Bersatu terus komited terhadap usaha penyatuan ummah dan tetap terbuka untuk membentuk kerjasama dengan Umno menuju PRU-15 tak lama lagi.
Bagaimanapun, katanya, matlamat kerjasama itu mesti berpaksikan kemaslahatan negara dan bukannya untuk kepentingan peribadi.
Ujarnya, keterbukaan Bersatu untuk menjayakan perpaduan ummah itu katanya terlihat dengan kedudukan beliau sebagai menteri kabinet dipimpini Ismail Sabri, selaku Perdana Menteri.
Juga kejayaan pentadbiran gabungan Sabah yang lancar dan makmur di bawah pimpinan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menterinya. – Malaysiapost