Mydin ciap pasal cili pula

Mydin ciap pasal cili pula

PIHAK pasar raya Mydin yang digesa membuat permohonan maaf dan memadam ciapan di Twitter yang dikatakan menyindir penyanyi rap, Caprice kerana didakwa dijadikan bahan jenaka bagi tujuan promosi di media sosial, dilihat tidak berbuat demikian setakat ini.

Sebaliknya, pihak pengendali laman Twitter rasmi pasar raya berkenaan dilihat membuat satu lagi ciapan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ciapan yang dikatakan menyindir penyanyi berkenaan.

“Bukan teh je ada dekat Mydin ni, cili pun ada. Macam-macam cili ada. Cili kering, cili merah, hijau, cili boh semua ada lah.

“Nak masak tu letak sikit-sikit je. Takut pedas sangat pula,” ciapan terbaru itu.

Ciapan berkenaan mendapat perhatian netizen yang rata-rata berpendapat Caprice cepat ‘terasa pedas’ dan ‘koyak’ hanya kerana ciapan di laman Twitter Mydin iaitu ‘Mula-mula ingat nak beli tea je, sekali terbeli cap dengan rice‘.

Setakat ini hantaran terbaru mengenai ‘cili’ itu mendapat hampir 8,000 ulang ciap dan lebih 14,000 tanda suka, manakala ciapan terdahulu mengenai ‘cap’ dan ‘rice’ mendapat 10,000 ulang ciap serta 22,000 tanda suka.

Terdahulu Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 34, turut meminta Mydin memadam ciapan yang dibuat di laman Twitter rasmi pasar raya itu sebelum tindakan undang-undang diambil.

Susulan itu, Caprice berkata, dia memberi masa 24 jam untuk Mydin membuat video permohonan maaf dan memadam hantaran tersebut di Twitter.

“Tak sangka brand yang dikenali sanggup menyindir. Saya beri 24 jam kepada Mydin untuk membuat video permohonan maaf dan menurunkan hantaran tersebut,” katanya di Instagram.

Dalam hantaran berikutnya, Caprice mengatakan dia tidak teragak-agak mahu menyaman pihak Mydin sekiranya tiada sebarang permohonan maaf daripada pihak tersebut. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

Komen