Pembangunan 5G melalui DNB untuk manfaat rakyat

Pembangunan 5G melalui DNB untuk manfaat rakyat

Aiman Hanif

Rangkaian dan infrastruktur generasi kelima (5G) adalah salah satu usaha baik kerajaan dalam memastikan pembangunan negara ke arah status negara maju menjadi realiti.

Bagi memastikan pembangunan itu dapat dicapai, kerajaan melalui Digital Nasional Berhad (DNB) telah mencapai kemajuan yang meyakinkan dalam usaha pelaksanaan infrastruktur 5G bermula dengan penglibatan peserta industri termasuklah Pengendali Rangkaian Mudah Alih (Mobile Network Operators atau MNO) dan pemilik menara dan gentian telekomunikasi.

Sehingga Ogos lalu, lebih 2,100 tapak 5G telah beroperasi dan liputan 5G telah mencecah 33 peratus di kawasan berpenduduk di lapan buah negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ini menjadikan sasaran 40 peratus liputan dapat dicapai pada hujung tahun ini. Malah, sasaran 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk pada penghujung tahun 2024 juga mampu direalisasikan berdasarkan perkembangan terkini.

Hal ini menggambarkan betapa seriusnya pelaksanaan teknologi ini yang hampir mencapai sasaran pada sukuan ketiga lagi.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Digital Nasional Berhad (DNB) secara aktif mengadakan sesi libat urus bersama Pihak-pihak Berkuasa Negeri, kerajaan tempatan dan pemegang taruh yang berkenaan bagi memastikan pembangunan infrastruktur 5G ini berjalan lancar.

Sesi ini amat penting bagi memastikan semua pihak terlibat mempunyai fahaman yang jelas terhadap pembangunan yang ingin dijalankan ini.

Pembangunan infrastruktur 5G Malaysia amat penting untuk Malaysia membina ekonomi berasaskan digital yang berpotensi meraih pelbagai kesan pengganda seperti peningkatan kumulatif keluaran dalam negara kasar (KDNK) sehingga RM650 bilion bagi tempoh 2022-2030 serta penjanaan 750,000 pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

Betapa besarnya pulangan ekonomi yang bakal diperoleh negara jasa daripada pelaksanaan teknologi 5G secara menyeluruh ini.

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung, hak mendapatkan akses internet yang terbaik perlu terus diperjuangkan seperti mana diperjuangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tidak sepatutnya wujud masyarakat yang dinafikan hak kepada capaian internet dan dianaktirikan oleh syarikat telekomunikasi yang menekan dan mengaut untung berbilion ringgit di atas akses talian yang sangat menyedihkan.

Pelbagai alasan sama ada dari pihak korporat dan syarikat telekomunikasi, semua sudah mengetahui yang kos infrastruktur yang tinggi hanya memfokuskan peluasan liputan di kawasan berkepadatan tinggi.

Hakikatnya, pelaksanaan infrastruktur 5G perlu dibangunkan secara menyeluruh tanpa mengambil kira isu kepadatan penduduk bagi memastikan supaya semua rakyat dapat menikmati kesamarataan digital ke arah Malaysia yang lebih mapan dan lestari.

Menyedari kemudahan teknologi yang sudah semakin baik dan dalam usaha merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat, kerajaan pimpinan Ismail Sabri telah melancarkan inisiatif Peranti Siswa.

Seiring dengan pembangunan 5G, inisiatif yang menyediakan kemajuan alat telekomunikasi kepada pelajar ini adalah satu langkah tepat kerajaan dan membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menjuarai isu kebajikan pelajar yang kurang berkemampuan.

Lebih membanggakan, inisiatif Malaysia Digital (MD) berjaya meraih nilai Pelaburan Langsung Asing (FDI) Digital sebanyak RM42 bilion dalam tempoh dua bulan sejak ia dilancarkan pada Julai lalu.

Nilai tersebut dijana melalui pelaburan 28 syarikat asing terdiri daripada syarikat dalam sektor Pusat Data, Penyedia Perkhidmatan IT, Teknologi Kandungan Kreatif dan Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS).

Kejayaan ini amat penting dalam proses pemulihan ekonomi negara, kerana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan berpengetahuan tinggi, membantu merancakkan inovasi seterusnya melonjakkan lagi ekonomi digital.

Malah, dengan memiliki infrastruktur bertaraf dunia, ekosistem digital yang holistik dan bakat digital yang berpengetahuan tinggi, Malaysia mampu menjadi destinasi pelaburan digital utama di peringkat ASEAN.

Pelaksanaan rangkaian 5G dijalankan secara berfasa, bermula di kawasan yang mempunyai aktiviti ekonomi yang tinggi kerana kelebihan teknologi 5G lebih memberi impak kepada sektor perusahaan dan industri.

Selepas fasa permulaan ini, seluruh kawasan akan mendapat akses rangkaian 5G bagi memastikan jurang digital dapat dirapatkan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Terdahulu, K-KOMM melalui Tan Sri Annuar Musa telah berusaha menjadikan Malaysia sebagai hab ICT selaras dengan inisiatif MyDIGITAL yang bertujuan mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan agar negara menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Bagi memperkukuh ekosistem kesalinghubungan, K-KOMM telah melaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA bagi memperluaskan liputan dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar secara menyeluruh melalui pelbagai inisiatif serta mempersiapkan negara bagi peralihan kepada teknologi 5G.

Jelaslah, pembangunan digital ini membawa begitu banyak jasa kepada rakyat, dalam aspek ekonomi yang dapat dijana, peluang pendidikan yang lebih baik serta peningkatan taraf hidup yang lebih selesa.

Harapannya, masa depan pembangunan teknologi 5G di negara ini dapat terus diperkasa tanpa sebarang tentangan dan halangan luar. Semoga usaha baik ini dapat terus direalisasikan bagi memastikan Malaysia melakar maju di persada dunia seiring negara maju yang lain.

Penulis adalah wartawan yang mengikut perkembangan Dunia digital

Komen