PM yakin BN mampu rampas kerusi pembangkang di Kedah

PM yakin BN mampu rampas kerusi pembangkang di Kedah

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Barisan Nasional (BN) mesti bersolidariti sebagai satu pasukan yang stabil dan kukuh.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno, percaya BN mempunyai kekuatan untuk memenangi pilihan raya kali ini dengan semangat yang ditunjukkan ahli dan penyokong BN.

“Hari ini (semalam) saya bersama-sama Datuk Seri Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) berada di Kulim-Bandar Baharu sempena program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran bagi peringkat Negeri Kedah.

“Saya dan Presiden amat bangga dengan semangat juang yang tinggi para penyokong dan jentera BN di Kulim-Bandar Baharu ini yang memberi gambaran kekuatan parti kita.

“Saya yakin, dengan semangat yang ditunjukkan, BN mampu merampas kerusi-kerusi parti pembangkang di negeri Kedah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Perdana Menteri semalam turut menghadiri Majlis Pelancaran Gerak Kerja Pilihan Raya BN Kedah sempena PRU-15 yang dilancarkan Ahmad Zahid di Dataran Serdang, Pekan Serdang Bandar Baharu, Kedah. – Malaysiapost

Kredit foto: Fb Umno Online

Komen