PROLINTAS mula laksana kadar tol baharu

PROLINTAS mula laksana kadar tol baharu

BERMULA tengah malam tadi, empat lebuh raya di bawah kendalian PROLINTAS mula melaksanakan kadar tol baharu dengan anggaran pengurangan antara lapan peratus hingga 15 peratus.

Pengurangan kadar tol berkenaan membabitkan Lebuhraya Bertingkat Ampang – KL (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi PROLINTAS, pelaksanaan kadar tol baharu itu dimaklumkan bermula jam 12.01 tengah malam tadi.

“Seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri minggu lalu, bermula jam 12.01 tengah malam, 20 Oktober 2022, empat lebuh raya kendalian PROLINTAS akan melaksanakan kadar tol yang baharu dengan anggaran pengurangan antara lapan peratus dan 15% untuk beberapa kelas kenderaan,” katanya dalam hantaran berkenaan.

PROLINTAS turut berkongsi infografik untuk kadar tol baharu di empat lebuh raya berkenaan.

Berdasarkan infografik berkenaan kadar tol baharu bagi kereta di AKLEH adalah RM2.13, GCE (RM1.75), LKSA (RM1.56) dan SILK (RM1.66).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober lalu memaklumkan, kerajaan bersetuju untuk menstruktur semula empat syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian PROLINTAS dan mengurangkan kadar tol.

Ismail Sabri berkata, ia sebagai menandakan keprihatinan terhadap masalah rakyat yang berdepan kenaikan kos sara hidup. – Malaysiapost

Komen