PRU15: Agong mahu calon, penyokong amal pendekatan berhemah sepanjang kempen
AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah hari ini menyeru calon dan penyokong parti politik mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Yang di-Pertuan Agong turut menasihati semua calon agar bertanding secara sihat dengan mengelak kempen menyerang.
Semua pihak juga perlu akur dengan garis panduan undang-undang serta peraturan ditetapkan pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis sepanjang tempoh tersebut hingga hari mengundi pada 19 November 2022.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara berkata, Seri Paduka Baginda mengingatkan bahawa dalam kehangatan dan keghairahan berkempen, nilai murni dan adab perlu dijaga oleh para calon dan penyokong mereka.
Katanya, Seri Paduka Baginda juga meminta semua pihak menjauhkan sifat fitnah, provokasi, caci-mencaci dan cela-mencela dengan memburuk dan memperlekeh sesiapa sahaja semasa berkempen.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan bahawa sifat-sifat tersebut tidak bertepatan dengan nilai-nilai murni. Sifat-sifat tersebut juga bukan sahaja tersasar daripada landasan kemanusiaan sebenar, malah boleh mencetus kekacauan serta keadaan huru-hara.
“Sesungguhnya, pada hemat Seri Paduka Baginda, kerjasama baik semua pihak amat penting di samping menghormati dan menjunjung tinggi institusi kehakiman negara serta sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan menjadikan kerjasama politik antara parti lebih harmoni,” katanya.
Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda juga mengajak seluruh rakyat bersama mendoakan semoga perjalanan PRU15 kelak lancar dan selamat.
“Semoga rakyat dan negara sentiasa diberkati, dirahmati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani bin Ghazali di Istana Negara, semalam.
Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima sembah taklimat berkenaan persiapan pihak polis dan agensi berkaitan bagi tempoh perjalanan PRU15 dan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir, melibatkan 99,133 pegawai dan anggota. – Malaysiapost