PRU15: Anwar sah bertanding kerusi Parlimen Tambun
KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu membuat pengumuman berkenaan ketika berucap pada Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (ICC), di sini sebentar tadi.
Anwar dijangka berdepan dengan penyandang yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang hampir pasti mempertahankan kerusi berkenaan.
Dengan pengumuman itu, Presiden PKR itu bakal meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang disandangnya selepas menang besar dengan majoriti 23,560 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, pada 13 Oktober 2018.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan itu memenangi PRU15.
“Majlis Presiden PH melalui proses temu rapat di Port Dickson, temu rapat di Seremban dan siri mesyuarat… membuat keputusan… memasuki PRU15, PH menawarkan kepada rakyat Malaysia, satu nama jika mandat diberikan… calon Perdana Menteri kita adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. – Malaysiapost