PRU15: Pemuda BN lancar siri jelajah ke suluruh negara

PRU15: Pemuda BN lancar siri jelajah ke suluruh negara

Najamuddin Mohd Nor

PEMUDA Barisan Nasional (BN) akan mengadakan siri jelajah menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ke seluruh negara, bermula Selasa depan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata siri jelajah bertemakan Demi Kestabilan dan Kemakmuran, melibatkan semua ketua pemuda parti komponen BN.

“Ia akan adakan di semua negeri, memperlihatkan ketua-ketua pemuda komponen secara bersama di atas pentas untuk kita menjelaskan dasar BN yang baik demi kemakmuran rakyat.

“Kita ada rekod untuk memastikan kestabilan dapat dicapai, kita ada rekod yang baik dari segi memastikan kemakmuran rakyat dapat kita pertahankan,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Asyraf Wajdi yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pemuda BN menyambut baik pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan 19 November sebagai hari mengundi PRU15.

“Saya amat berpuas hati persiapan yang sudah dilakukan oleh Pemuda BN di semua 191 kerusi Parlimen yang bakal ditandingi oleh calon-calon BN,” katanya. – Malaysiapost

Komen