Tun M minta SPR larang bawa telefon bimbit semasa mengundi

Tun M minta SPR larang bawa telefon bimbit semasa mengundi

TUN Dr Mahathir Mohamad meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguatkuasakan peraturan melarang telefon bimbit dibawa semasa mengundi di pusat pengundian.

Menurut Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu ia antara kelemahan dalam sistem pilihan raya yang mendorong kepada perbuatan rasuah.

Kata bekas Perdana Menteri, terdapat banyak kelemahan dalam pilihan raya namun SPR tidak mahu mendengar teguran mengenainya.

“Jika tidak dibetulkan rasuah dan penipuan akan dilakukan dalam pilihan raya. Umpamanya telefon bimbit boleh menidakkan rahsia pengundi. Parti boleh guna maklumat untuk sogokan.

“Pengundi boleh tunjuk melalui telefon bahawa dia sudah undi parti tertentu dan parti pun hulur wang.

“Tidak bolehkah SPR tegah membawa telefon bimbit semasa mengundi?,” soal Dr Mahathir menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi disandangnya pada PRU15 menambah, banyak lagi kelemahan pilihan raya perlu diperbaiki oleh SPR sebelum hari mengundi.

Terdahulu SPR mengumumkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tarikh sama ditetapkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November, manakala pengundian awal pada 15 November. – Malaysiapost

Komen