Umno tidak sempurna tetapi lebih baik daripada PH – Zahida

Umno tidak sempurna tetapi lebih baik daripada PH – Zahida

PUTERI Umno mengakui Umno punya kelemahan dan tidak sempurna, namun memilih Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu juga bukan satu keputusan yang betul.

Sehubungan itu, Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan mengingatkan rakyat tidak mengulangi lagi kesilapan dan jangan salah pangkah pada PRU15 yang akan dijalankan pada bulan depan.

“Kali ini adik-adik semua tetapkan pendirian, pilih parti yang terbukti mampu bawa kestabilan dan beri khidmat terbaik pada rakyat. Jangan salah pangkah lagi.

“Oh! Malang sungguh nasib pengundi pada PRU lalu. Dalam kempen mereka sebut ‘Malaysia Baharu’ kononnya akan jadi lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

“Katanya manis-manis sahaja, ibarat dapat barang yang baru. Hakikatnya segalanya haru, dalam 100 hari basah hancing rakyat jadi mangsa penipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahida berkata, ketika PH memerintah, mereka menjual satu persatu aset negara, bermula dengan IHH Healthcare Berhad dijual oleh Khazanah kepada Jepun iaitu Mitsui & Co Ltd kurang daripada 6 bulan di Putrajaya.

Katanya, kemudian saham CIMB sebanyak RM364 juta telah dijual oleh Khazanah pada Disember 2018, Axiata Group melalui anak syarikatnya, Axiata Investments Limited telah menjual keseluruhan kepentingan Axiata dalam M1 Limited (M1) kepada Konnectivity Pte Ltd (Konnectivity) Singapura dengan nilai sebesar RM1.65 bilion pada Februari 2019.

“Dan mereka terus dengan siri penjualan aset-aset strategik negara termasuk aset Tabung Haji.

“Segala aset dan rizab yang dikumpul, dibina BN dahulu di jual secara ‘borong’,” katanya.

Zahida mendakwa, penjualan aset berkenaan untuk menjayakan propaganda seolah-olah kerajaan bankrap, untuk menghapuskan legasi pencapaian BN selain isytihar sebagai pendapatan untuk mengurangkan hutang yang kononnya diwarisi daripada BN.

“Akhirnya siapa untung siapa rugi? menteri-menteri PH untung selesa goyang kaki di Putrajaya, rakyat menanggung kesan buruk yang masih belum pulih,” katanya – Malaysiapost

Komen