Berhati-hatilah rakyat Malaysia dengan bisikan fitnah – Ahmad Zahid

Berhati-hatilah rakyat Malaysia dengan bisikan fitnah – Ahmad Zahid

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendakwa pembangkang sebelum ini mencipta pelbagai persepsi kononnya pilihan raya berlangsung secara tidak adil.

Menurutnya, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dipertanggungjawab untuk menjayakan proses demokrasi itu juga tidak terlepas menjadi mangsa fitnah mereka.

“Tentunya semua masih ingat tuduhan 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi di Malaysia. Begitu juga kempen politik pembangkang konon berlaku insiden ‘lampu padam’ semasa pengiraan undi.

“Tujuannya cuma satu iaitu untuk mencetuskan syak wasangka dan rasa kurang senang masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, kini terbukti BN dalam mentadbir negara adalah kerajaan yang menghormati mandat rakyat kerana walaupun tertewas angkara politik fitnah, penipuan dan janji palsu lawan, BN menerima keputusan rakyat.

“BN menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan hati yang terbuka meskipun ia amat memeritkan.

“Selepas sekian lama menabur budi akhirnya dikalahkan dengan kelicikan lawan bermain persepsi. Bagaimanapun BN tahu kebatilan tidak mampu bertahan lama kerana kebenaran akan terserlah,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, BN yang tidak dapat membentuk kerajaan pada 9 Mei 2018 berusaha bangkit semula, bukan melalui rusuhan jalanan, fitnah dan pembohongan, tetapi melalui fakta dan kebenaran.

“Kini menjelang PRU-15 anasir-anasir mereka untuk menghasut fitnah kembali kedengaran. Maka berhati-hatilah rakyat Malaysia kerana bisikan fitnah akan sentiasa cuba mencari ruang untuk menghasut,” katanya. – Malaysiapost

Komen