BN tekad elak tubuh kerajaan ‘melukut tepi gantang’

BN tekad elak tubuh kerajaan ‘melukut tepi gantang’

BARISAN Nasional (BN) bertekad untuk tidak lagi menubuhkan sebuah kerajaan seperti ‘melukut di tepi gantang’ seperti sebelum ini selepas Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, BN dengan 42 kerusi sebelum ini mewujudkan ketidakstabilan politik.

Beliau berkata, parti lain mempunyai lebih banyak kerusi contohnya Perikatan Nasional (PN) 49 kerusi, GPS 19 dan dengan 42 kerusi BN tiada kekuatan.

“Jika lima tarik diri kita tumbang oleh itu saya bersama ‘top 5’ bermesyuarat untuk membuat keputusan untuk membubarkan Parlimen.

“Kita perlu bentuk kerajaan yang dominan supaya mudah membuat keputusan besar selain mewujudkan kerajaan yang stabil dan dalam masa sama mampu meningkatkan tahap ekonomi negara.

“Kita bukan setakat nak menang tapi nak memang besar…bukan menang dan menubuhkan kerajaan melukut tepi gantang mengharapkan ehsan orang untuk memerintah,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Serta Pelancaran Jentera Barisan Nasional Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) Negeri Terengganu, di Dewan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Jenagor, Kuala Berang, Terengganu, hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan, lebih lama masa diambil tanpa bubarkan Parlimen maka ketidakstabilan politik negara dilihat semakin meruncing dan usaha untuk memulihkan ekonomi negara juga terbantut.

“Menteri keluar kenyataan akur kepada arahan parti. (Mungkin) lebih banyak arahan lepas ini.. lebih sukar.. belum presiden dia petik butang.. saya petik butang dulu.

“Terengganu diharap mampu menyumbang beberapa kerusi dalam PRU15 manakala Hulu Terengganu berjaya merampas kembali kerusi yang dimenangi oleh Umno sebelum ini.

“Kita rampas semula kerusi kita yang dirompak, kerusi ini hak kita (Umno) dalam PRU-14.. dia rompak kerusi kita.. kita mesti rampas semula,” katanya.

Ismail berkata, syarat utama kemenangan parti adalah solidariti antara kepimpinan kerana kesepakatan sesama ahli mampu menjamin kemenangan buat BN. -Malaysiapost

Komen