Dakwaan Zahid tak tanding PRU-15 propaganda politik

Dakwaan Zahid tak tanding PRU-15 propaganda politik

SETIAUSAHA Kerja Umno, Datuk Mohd Sumali Reduan hari ini menafikan dakwaan mengatakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau menegaskan tidak menerima sebarang kenyataan sebegitu daripada Ahmad Zahid, malah menyifatkan ianya sebagai propaganda politik.

“Saya tidak pernah dengar dan tiada kenyataan rasmi dari Presiden Umno, saya anggap hanya propaganda politik,” katanya memetik Umno Online.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya sejak empat penggal lalu dalam PRU-15.

Difahamkan tempat beliau akan diganti oleh sama ada anaknya, Nurulhidayah atau pun orang kanan beliau sendiri, lapor Sinar Harian.

Pemimpin berusia 69 tahun itu dikatakan membuat keputusan besar tersebut sebagai satu pengorbanan agar nama dan isu yang menyelubungi dirinya tidak dijadikan modal kempen lawan dalam PRU-15.

Langkah itu sekaligus menjawab teka-teki berhubung sokongan penuh Umno-Umno Bahagian kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) ditakdirkan menang. – Malaysiapost

Komen